Selasa, 15 Februari 2011

Isu pembuangan bayi

Hayatinya
        Sebelum ini kita sering memperkatakan masalah seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram, rogol, pencabulan, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan pelbagai lagi permasalahan masyarakat . Kini, kita dikejutkan pula dengan permasalahan “Pembuangan Bayi” yang semakin beleluasa sehingga malangkaui norma-norma yang tidak dapat di terima akal oleh masyarakat Malaysia yang terkenal dengan nilai-nilai ketimuran dan ajaran Islam yang menjadi pegangan.
          Pada era moden yang serba mencabar ini, Malaysia dengan bangganya menuju ke satu tahap yang lebih kompetitif bertunjangkan sains dan teknologi. Namun, di sebalik kemodenan ini, mereka telah lupa dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, terdapat pelbagai laporan tentang pembuangan bayi di merata-rata tempat seperti di dalam tandas, di tepi longkang, dan sebagainya. Golongan yang tidak bertanggungjawab ini membuang bayi secara membuta tuli sahaja tanpa ada sifat dan perasaan berperikemanusiaan.
        Masalah pembuangan bayi sebenarnya bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini. Sejak  zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta nak-anak perempuan atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya semasa beliau belum menganut agama Islam. Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi kini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini. Malu, sedih, buntu setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka pengguguran serta pembuangan bayi menjadi langkah terbaik dalam menutup segala keaiban yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat. 
          Isu pembuangan bayi yang tidak pernah berkesudahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini boleh dianggap sebagai wabak atau bencana kepada negara. Pembuangan bayi yang semakin hari semakin banyak dilaporkan di dada akhbar dan paling menyayat hati terdapat bayi yang tidak berdosa bukan saja dibuang, malah dibakar. Mereka yang melakukan perkara ini merupakan individu yang tidak ada maruah diri dan tidak bertamadun. Apakah tidak ada lagi nilai kemanusiaan di dalam diri mereka yang tidak bertanggungjawab ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan